Highly-Cherished
Ulasan artikel : Mahfuz Abdul Majid (192536).
Artikel asal: Sharmila Nair.
- Artikel bertajuk “Highly-Cherished” ini adalah berkisar tentang penggunaan barangan elektronik dalam kalangan remaja. Remaja pada masa kini menganggap barangan elektronik (electronic gadget) seperti, laptop, ipod, permainan mp3, mahupun telefon bimbit sebagai barangan kesayangan mereka. Sehingga ada antara mereka menyatakan betapa mereka tidak dapat hidup atau dengan erti kata lain tidak senang duduk tanpa barangan kesayangan mereka di sisi.
- Barangan elektronik ini diperlukan terutamanya dalam golongan pelajar sebagai pelengkap kehidupan mereka. Penggunaan peralatan elektronik seperti komputer riba misalnya, akan dapat meningkatkan lagi prestasi dan kemajuan dalam kalangan pelajar. Dengan penggunaan barangan elektronik ini para pelajar akan lebih mudah membuat sebarang penyelidikan dan kajian, mahupun menyelesaikan sebarang tugasan yang diberikan. Di samping itu juga, komputer riba juga turut digunakan oleh para pelajar sebagai medium untuk melepaskan tekanan dan berhibur. Contohnya, dengan mendengar muzik, melayari internet, menonton DVD, mahupun bermain permainan komputer (computer game). Komputer riba juga merupakan salah satu barangan elektronik yang mudah dibawa dan boleh digunakan di mana sahaja. Tambahan pula, kemudahan WiFi telah banyak disediakan terutama dalam persekitaran universiti dan tempat-tempat tertentu. Sebab lain yang mejadikan barangan elektronik ini digilai atau diminati oleh golongan pelajar adalah kerana ia turut berfungsi sebagai alat perhubungan untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Misalnya, dengan penggunaan e-mail atau chatting.
- Penggunaan barangan elektronik pada zaman sekarang bukan lagi merupakan satu kemudahan tetapi telah menjadi sebuah keperluan. Hal ini boleh dilihat dari segi penggunaan telefon bimbit, di mana hampir semua individu tidak kira mereka yang bekerja mahupun para pelajar yang masih bersekolah telah memilikinya. Jika dilihat sekitar tahun 90-an, penggunaan telefon bimbit lebih terarah kepada medium perhubungan semata-mata. Contohnya digunakan untuk menghubungi seseorang atau berhubung melalui sistem pesan ringkas (sms). Namun tranformasi yang berlaku telah membawa kepada kepelbagaian fungsi kepada penggunaan telefon bimbit yang membawa kepada kegilaan setiap golongan untuk memilikinya terutamanya dalam kalangan pelajar dan remaja.
- Barangan elektronik seperti iPod, mp3 dan PDA turut menjadi barangan kegilaan dan kesayangan dalam kalangan pelajar khususnya. Ini demikian kerana, barangan ini mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaannya. Contohnya, sebagai alat hiburan, penyimpanan sebarang maklumat penting, dan juga sebagai medium perhubungan.
- Kesimpulannya, artikel ini menyentuh tentang penggunaan barangan teknologi dalam kalangan pelajar dan mengapa pelajar mengemarinya serta mejadi barangan kesayangan mereka. Jelaslah disini bahawa barangan elektronik sememangnya merupakan antara pelengkap keperluan hidup mereka.